Penjenamaan semula 

 Mencari kelainan kita perlu berubah dan perubahan itu pastinya memberi impak positif kepada orang di sekeliling  kita.  Dalam situasi  ekonomi semasa negara yang dipengaruhi iklim ekonomi sedunia yang tidak memberangsangkan  apa pilihan yang kita ada, sama ada  terus kekal berada di dalam senarionya atau pun  mencari alternatif lain  untuk bergerak  ke depan. 

 Jika tidak,  apa  yang diusahakan selama ini akan berakhir begitu sahaja. Apakah wajar untuk dibiarkan sahaja   jenama yang dibina itu  terus tenggelam atau bangkit menongkah arus memperkenal semula dan mengukuh keberadaan  produk yang diusahakan itu masih relevan di pasaran.  Walhal bukan mudah untuk dibangunkan. Bermula dari titik kosong yang tiada apa-apa sehingga menjadi siapa kita pada  hari ini.

 Lumrah manusia, apabila melihat sesuatu yang lama pada jangka masa  panjang mata dan rasa sudah sebati dengan apa yang ada. Ia tidak lagi memberi kesan kepada yang memandangnya. Maka, untuk kekal berada di pentas sama dengan yang lain, suka atau tidak perubahan perlu dilakukan.

 Justeru, keperluan penjenamaan semula  antara pilihan  yang mampu meningkatkan  kembali sokongan  ramai terhadap produk dan  perkhidmatan yang ditawarkan. Selain kembali bangkit senada dan seiring dengan pesaing di pentas ekonomi negara.

 Maka tidak hairanlah jika kita dapati produk yang sudah ada nama di pasaran ada ketika tampil berwajah baru. Ia tidak lain bagi memastikan kepada khalayak mengenai keberadaannya. Justeru, penjenamaan  semula berupaya  menjadi pemangkin  kepada pertumbuhan perniagaan dan produk diusahakan, sekali gus mengembalikan kepercayaan umum.

 Melihat kepada perubahan sebuah pusat  beli-belah di Puchong, penulis akui kuasa penjenamaan semula  memang ada magisnya.  Jika untuk terus kekal relevan dan  berdaya saing dalam persekitaran ekonomi sekarang, tindakan penjenamaan semula dari segi rupa, susun atur dan konsep nyata pusat beli-belah berkenaan mencapai sasarannya.

 Keupayaannya menarik kembali pengunjung yang sebelum ini agak lesu dilihat semakin berjaya menerusi  penampilan  baharunya. Sekali gus transformasi yang dilakukan  berbaloi kerana kewajaran membina semula imej dilihat menyentak rasa ingin tahu pengunjung. Apatah lagi kebijaksanaan pusat beli-belah meneroka cita rasa pengunjung menerusi kepelbagaian produk yang ditawarkan penyewa. 

 Berdasarkan maklumat SME Info mengenai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), penjenamaan memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan organisasi di mata awam. Ia sebahagian daripada strategi perbelanjaan pemasaran bagi PKS. 

PKS yang berjaya lazimnya mempamerkan semangat keusahawanan yang tinggi dan memanfaatkan semangat itu melalui budaya dan ditakrif untuk menyediakan perkhidmatan dan produk yang inovatif. 

  Imej jenama mesti disampaikan secara konsisten dan disokong nilai dan budaya sesebuah organisasi. 

Proses perancangan strategik yang berstruktur baik diperlukan dalam strategi penjenamaan dan membangunkan program pemasaran jualan dan promosi integratif yang mesti sejajar dengan strategi perniagaan keseluruhan untuk mencipta nilai sesuatu jenama itu. 


Terdapat enam alasan  mengenai penjenamaan: 

1. Penjenamaan tingkatkan pengiktirafan

Salah satu komponen utama dalam penjenamaan ialah logo anda. Logo adalah 'wajah' sebuah syarikat, reka bentuk logo adalah penting kerana grafik tersebut akan diletakkan pada setiap surat-menyurat dan pengiklanan. Reka bentuk logo profesional cukup mudah untuk dilupakan, tetapi cukup kuat untuk memberikan kesan yang diingini terhadap syarikat anda.

2. Penjenamaan mewujudkan kepercayaan

Penampilan profesional membina kredibiliti dan kepercayaan. Pembeli akan lebih cenderung untuk membeli dari perniagaan yang kelihatan kukuh.

3. Penjenamaan menyokong pengiklanan

Pengiklanan adalah satu lagi komponen dalam penjenamaan anda. Kedua-dua medium yang dipilih dan demografi yang disasarkan untuk pengiklanan akan membina jenama anda. Jika fokus pengiklanan adalah terlalu sempit, syarikat akan kehilangan kemampuan mereka untuk berkembang ke pasaran baru. Jika tumpuan pengkilanan terlalu luas pula, syarikat itu akan gagal untuk mewujudkan gambaran yang jelas pada fikiran para pelanggan.

4. Penjenamaan membina nilai kewangan

Syarikat-syarikat yang berdagang di bursa saham adalah bernilai lebih tinggi dari nilai aset sebenar syarikat itu. Nilai ini adalah disebabkan oleh penjenamaan syarikat yang baik. Penjenamaan yang baik biasanya menjamin perniagaan pada masa hadapan. Sama ada syarikat ingin meminjam dana untuk mengembangkan perniagaan atau melancarkan IPO, ini akan lebih memudahkan syarikat. Semakin banyak usaha syarikat untuk membina nilai penjenamaanya, semakin baik pulangan kewangan dari usahanya kelak.

5. Penjenamaan memberi inspirasi kepada pekerja

Kebanyakan pekerja memerlukan lebih daripada sekadar kerja – mereka memerlukan arah tuju dalam sesuatu kerja itu. Apabila pekerja memahami misi sesebuah syarikat itu mereka akan lebih cenderung untuk bekerja bagi mencapai matlamat yang telah anda tetapkan.

6. Penjenamaan menjana pelanggan

Penjenamaan membolehkan syarikat anda dijadikan rujukan dalam perniagaan. Salah satu sumber pengiklanan yang paling menguntungkan adalah sebaran dari mulut ke mulut dan hanya boleh dicapai sekiranya syarikat anda telah menyampaikan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan anda. Syarikat-syarikat yang menguntungkan, tidak kira kecil atau besar, mempunyai satu perkara yang sama iaitu dengan membina penjenamaan yang kukuh.

 

 Menurut SME Info lagi:

> Jenama

Sebahagian daripada identiti jenama tersebut

> Tanda Jenama

Boleh dikenal pasti melalui simbol, reka bentuk, warna, gaya huruf, watak dan isyarat

> Tanda D agangan

Memberi hak eksklusif kepada penjual untuk menggunakan tanda dagangan

> Hak Cipta

Hak eksklusif untuk menghasilkan dan menjual jenama sebagai literasi / artistik

> Paten

Perlindungan undang-undang terhadap ciri produk atau proses pembuatan


Comments

Popular posts from this blog

Apakah Yang Aku Rasa?

KATERING SAJIAN NUR MANIS PENTINGKAN KEASLIAN CITA RASA MASAKAN

Selamat Tahun Baru 2011