KASIH AIN DELAILA

BAB SATU

Bila hati mula diratah cemburu, cinta yang bersemi menjadi taruhan....


Delaila tersenyum sungging melihat sekeping nota bertulis tangan berada di lantai sebaik pintu bilik asramanya dibuka.

`Malam ini jangan lupa datang ke studio Hakim’.


Wajah Delaila yang tadinya senyum, tiba-tiba masam mencuka. Dirinya tertanya-tanya untuk apa Hakim memintanya datang ke studio kalau kasihnya masih bercabang-cabang. Untuk apa Delaila harus ke sana kalau dirinya belum tentu menjadi kekasih sebenar Hakim.

Delaila tahu, bukan mudah untuk dia melupakan Hakim. Anak muda berkumis tipis, berperawakan riang dan berimej `bad boy’berjaya mencuri hati keras Delaila yang selama ini menutup kemas hatinya daripada menyintai mana-mana lelaki pun. Delaila sedar bukan dirinya sahaja yang tertawan dengan sikap nakal Hakim, tetapi ramai gadis sefakulti Hakim menaruh hati kepadanya.

Sambil tangan membuka tudung, mata Delaila merenung ke jendela. Terdengar keluhan kecil dari bibir comelnya. Hai hati! Bolehkah engkau lupakan Hakim walau sesaat. Aku dah penat hati..., menahan segala rasa yang terpendam.

Mata bundarnya masih melihat ke jalan di luar jendela asramanya. Kelihatan ramai siswi dan siswa membawa beg baju, ada yang tertawa, ada yang bergurau senda tetapi masing-masing sedang berjalan menuju ke perhentian bas. Biasalah petang Jumaat begini ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang bercuti hujung minggu ke rumah masing-masing.

Redup pandangan Delaila kerana dia tahu hujung minggunya belum tentu ke mana hala tujunya nanti. Biasanya hari minggu sentiasa ditunggu-gunggu Delaila. Inilah waktunya untuk Delaila dan Hakim keluar ke Kuala Lumpur sama ada ke galeri petronas, balai seni lukis negara dan paling tidak sekadar menonton wayang untuk menghabiskan masa bersama. Ataupun mencuci mata di shopping complex.

Tetapi petang itu hati Delaila terasa sebak. Hatinya bertanya perlukah dia bertemu Hakim lagi setelah dia tahu Hakim selama ini tidak pernah jujur pada dirinya. Tekad Delaila, malam ini dia mesti akhiri perhubungan mereka. Biar sakit sekarang jangan sakit di kemudian hari. Sebelum hatinya sudah tidak berdaya menolak cinta Hakim.



Kejadian tempoh hari membuka mata dan hatinya yang selama ini cuba menidakkan cerita yang singgah di telinganya tentang Hakim. Delaila cuba untuk tidak membenarkan segala kenyataan itu.

Setiap kali ada cerita yang kurang enak tentang Hakim, Delaila pasti bertanyakan Hakim. Apakah benar segala omongan orang terhadap dirinya. Dan seperti selalu, Hakim akan menepis dan cuba menyakinkannya bahawa orang memang suka berkata-kata. Hanya Delaila ratu hatinya

Allah Maha Kaya. Akhirnya petang semalam ketika Delaila berjalan berseorangan di PKNS, hatinya tergerak untuk berpaling ke arah restoran makanan segera. Sekali pandang, Delaila berasakan lelaki yang sedang tertawa itu adalah Hakim. Untuk menyakinkan dirinya, Delaila berhenti. Di dalam hati Delaila berdoa agar lelaki yang dilihatnya itu bukan Hakim. Tetapi firasat Delaila benar, lelaki yang rancak berbual dan sesekali tertawa mesra sambil tangannya membelai jari jemari gadis berambut perang itu adalah lelaki yang dicintainya, Lukmanul Hakim.

Mungkin Hakim juga sedar dirinya sedang diperhatikan seseorang, mukanya dikalih ke arah dinding kaca di mana Delaila sedang berdiri penuh sayu sambil memeluk buku nota. Tanpa sempat Hakim berbuat apa-apa, Delaila sudah mengatur langkah, hilang di celah-celah orang ramai. Hakim bagaikan hilang kata-kata. Moodnya yang tadi penuh ceria, terbang entah ke mana. Yang ada cuma rasa bersalah dan menyesal kerana Hakim tidak menyangka Delaila akan ke situ. Setahu Hakim, Delaila jarang keluar berseorangan. Paling tidak dengan kawan-kawan rapatnya.

”Jom balik! I tak dak mood nak berjalan-jalan. I have to go to the studio rite now. Got some work to do. Tomorrow nak kena submit kat lecturer”, bicara Hakim pada Suzie yang tampak sedikit kecewa.

“Ala... tak boleh ker kita jalan-jalan sekejap kat sini. I nak beli baranglah. Nanti kita baliklahh,” rayu Suzie penuh manja.

Hakim menggaru kepalanya. Argh! Tensionnya. Macam mana ni. Hakim harus pergi dari sini sebelum segala-galanya terlambat. Hakim harus lakukan sesuatu untuk menyakinkan Delaila bahawa dia sebenarnya memang cintakan gadis bermata bundar itu sepenuh jiwa raganya. Hakim tahu semua ini salah dia. Padan muka aku! Buat perkara bodoh ni lagi.

Terdengar rengekan Suzie yang masih memujuk Hakim untuk menemaninya. Tetapi hati Hakim entah di mana. Matanya masih terbayang renungan sayu Delaila kerana dia tahu Delaila bukan seperti Suzie. Rona dirinya masih putih, seputih salju. Itu yang Hakim tahu sepanjang menjadi kekasih Delaila selama setahun.

Sikap dan sifat Delaila yang sederhana menawan hati lelakinya. Dia berasakan Delaila jujur menyintainya. Sedangkan Suzie penuh kepura-puraan, mengejar kebendaan dan paling utama mengejar hartanya. Tetapi dia tahu hati Delaila murni.

Sewaktu pertama kali mereka diperkenalkan, Delaila tampak seperti gadis biasa-biasa bukan dari kelas atasan seperti gaya mama dan kakaknya, penuh solekan dan sarat barang berjenama. Ketika itu Delaila menemai teman sefakultinya Shaz yang singgah sekejap ke studio mereka untuk mencari Diana. Delaila pada masa itu sangat pendiam. Cuma bibirnya tidak lekang dari senyuman. Terserlah lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Sifat nakal Hakim mula mendatang. Diusikanya Delaila yang tersipu malu. Pertemuan mereka berakhir begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan.



BAB 2

Luka di hati siapa yang tahu ....

Berada di semester keempat, tugasan kewartawanannya semakin banyak. Delaila perlu berusaha, apatah lagi keluarganya bukan dari golongan berada. Hanya tinggal ibu dan adik lelakinya. Abah sudah lama pergi. Delaila bersyukur kepada Allah kerana masih memberi ruang dan peluang kepadanya untuk terus belajar bagi memperbaiki dirinya.

Jam ditangan sudah menghampiri ke angka 6.30 petang. Delaila baru teringat dia belum solat Asar lagi. Katil di sebelahnya tidak berusik. Tentu Yati belum pulang lagi dari kelas di Menara. Biarpun mereka satu fakulti tetapi berlainan pengkhususan. Yati dikenali seawal semester pertama ketika Delaila dan rakan-rakan jurusan komunikasi massa di hantar ke Melaka untuk pra diploma. Kebetulan semester pertama mereka semua berpindah ke sana. Sejak itu persahabatan Delaila bersama Yati, Akmar, Mastura dan Mama terus terjalin erat. Apatah lagi mereka ditempatkan di asrama Cempaka.

Delaila terus mencapai tuala di kerusi bersama bakul sabun dan terus keluar menuju ke bilik air yang terletak di kiri bilik asramanya. Malam ini, Delaila akan membuat perhitungan dengan Hakim. Biarlah cintanya berkecai di tengah jalan tetapi yang pasti Delaila redha.

Biarpun perkenalan mereka bukanlah dari cinta pandang pertama. Tetapi entah Delaila pun tidak tahu bagaimana cintanya boleh berputik. Kata Hakim, semuanya bermula dari mainan rakan sefakultinya yang sering menitipkan salam kami di antara kami berdua.


Bila mengingati semula kisah pertemuan mereka, Delaila tersenyum sendirian. Namun hatinya kembali muram memikirkan Hakim tidak pernah serius tentang perhubungan mereka. Biarpun kedua-dua mereka tidak pernah membicarakan soal perkahwinan tetapih jauh disudut hati Delaila, dia mahu hubungan mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Tunggu Hakim. Dia akan datang dengan seribu satu soalan untuk dijawab Hakim. Biar semuanya terlerai dan mungkin malam ini akan menoktahkan segala kesangsian dalam dirinya terhadap hakim. Bagi Delaila masih awal untuk dia menarik diri dari percintaan ini. Jika dibandingkan Delaila dengan Hakim memang mereka berdua ibarat bumi dan langit. Sangat berbeza.

Comments

Best tu Lin, teruskan dengan bab selanjutnya..

Popular posts from this blog

Apakah Yang Aku Rasa?

KATERING SAJIAN NUR MANIS PENTINGKAN KEASLIAN CITA RASA MASAKAN

Selamat Tahun Baru 2011